PRISMA

Tahun 1994 merupakan tahun pertama anak Malaysia menjejakkan kaki ke bumi Mafraq. Kesemua mereka merupakan pelajar di bawah tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Yayasan Pahang. Mereka ditempatkan di sebuah universiti yang baru dibuka iaitu Al-alBayt. Pada ketika itu, keadaan para pelajar agak tertekan akibat daripada suasana universiti yang membosankan dengan kekalutan sistem pentadbiran tahun pertama universiti. Ditambah lagi situasi di asrama yang diibaratkan sebagai penjara dengan pelbagai peraturan yang menyesakkan jiwa.

Rentetan daripada itu, semua pelajar telah membuat satu memorandum agar mereka dipindahkan. Empat orang wakil setiap tajaan menyampaikan memorandum ke Malaysia. Mereka ialah Suhaimi Sudin (KPM), Mahmood Kassim (KPM), Fakhrunnizam Ishak (JPA) dan Zulkarnain Ahmad (Yayasan Pahang). Pada 19 Disember 1994 Dato Amar Sulaiman Daud, Menteri Pendidikan pada ketika itu merupakan wakil kerajaan Malaysia dihantar bagi meninjau sendiri keadaan sebenar Al-alBayt yang akhirnya membawa keputusan yang mengecewakan. Memorandum mereka gagal. Akhirnya pelajar terpaksa akur meneruskan pembelajaran di Al-alBayt.

Setelah PMMJ (Persatuan Mahasiswa Malaysia Jordan) terkubur, pelajar memikirkan perlu untuk mereka bersatu di bawah satu kesatuan. Lalu terbitlah idea untuk menubuhkan persatuan universiti bagi menjaga kebajikan mereka khususnya di Mafraq. Satu jawatankuasa Penaja Persatuan dibentuk dan pada 23 Februari 1995 pilihanraya pertama diadakan untuk memilih barisan kepimpinan. Pada 25 Februari 1995 keputusan pilihanraya diumumkan dan tercatatlah sejarah PRISMA (Persatuan Mahasiswa Malaysia Al-alBayt) yang ditubuhkan secara rasmi.

PRISMA adalah ringkasan daripada Persatuan Mahasiswa Malaysia Al-alBayt dan dalam Bahasa Inggerisnya ialah Malaysian Al-alBayt Student Association ringkasnya MASA. Ia telah ditubuhkan pada Hari Sabtu, 25 Februari 1995M bersamaan 25 Ramadhan 1415H. PRISMA ditubuhkan untuk memelihara hal-ehwal kebajikan pelajar-pelajar Malaysia di Universiti Al-alBayt, Jordan di samping memelihara hal-ehwal akademik mereka. Tidak lupa juga PRISMA diwujudkan untuk menjadi agen penyatuan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sini dan menjadi wasilah antara mereka dan persatuan-persatuan lain yang ada di bumi Jordan demi menjaga dan menjamin kebajikan mereka.

Sekarang ini PRISMA merupakan sebuah persatuan yang ditadbir oleh 5 orang Ahli Majlis Tertinggi bahagian siswa dan 5 orang bahagian siswi dengan diketuai oleh presidennya yang dipilih melalui pilihanraya yang diadakan setahun sekali. Persatuan ini dinaungi oleh Kedutaan Besar Malaysia ke Jordan, dengan Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) sebagai penasihat kehormatnya.

Dan PRISMA sebagai persatuan universiti yang pertama ditubuhkan terus kekal dan berusaha mencapai segala objektif penubuhannya sehinggalah ke hari ini.