Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Yarmouk (PERMAYA) telah ditubuhkan pada tahun 1996 untuk mengambil berat hal ehwal kebajikan mahasiswa Malaysia Universiti Yarmouk serta meningkatkan penguasaan dalam bidang akademik. Kedatangan pelajar-pelajar Jordan University of Science and Technology (JUST) pada September 2001 menyaksikan penubuhan kelab myJUST sebagai sebuah entiti berasingan di Irbid. Tanggal 4 Mac 2003, satu perjumpaan di antara Presiden-presiden Persatuan Zon-zon Jordan telah dijalankan di MSD Amman. Satu kata sepakat telah dicapai iaitu untuk menggabungkan pelajar-pelajar semua universiti dalam satu zon di bawah satu payung organisasi sahaja. Perbincangan antara Ahli-ahli Majlis Tertinggi PERMAYA dan myJUST telah dijalankan dan satu jawatankuasa penaja untuk satu persatuan baru yang menggabungkan pelajar-pelajar Universiti Yarmouk dan JUST telah ditubuhkan di bawah nama Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid atau PERMAI. PERMAI sebagai sebuah persatuan yang menaungi pelajar-pelajar Malaysia di Irbid telah disahkan penubuhannya dalam Mesyuarat Agung Pertama yang telah diadakan pada 3 April 2004. Meskipun baru berumur setahun jagung, PERMAI terus mengorak langkah dengan teratur bagi memastikan moto ‘BERSATU KE ARAH KECEMERLANGAN’ mencapai matlamatnya.